Sumbangan Anda... Kehidupan Senyuman Harapan Impian Mereka

Blog Hear Me

Ling 6 Sound

LING 6 SOUND – Bunyi yang perlu diketahui semasa melakukan terapi pertuturan

/m/, /a/, /i/, /u/, /s/, /sh/

Enam bunyi di atas dikenali sebagai Ling’s Sound. Bunyi-bunyi ini telah diperkenalkan oleh Daniel Ling bertujuan menguji kebolehan pendengaran kanak-kanak menggunakan pelbagai bunyi percakapan. Ujian ini bukan sekadar menunjukkan kebolehan kanak-kanak untuk mengesan bunyi, malah boleh juga diuji sama ada bolehkah kanak-kanak ini mengenal pasti bunyi apa yang didengar.

Cara sebutan bunyi-bunyi di atas adalah seperti berikut

/m/: makan

/a/ : ayam

/i/ : ikan

/u/ : uban

/s/ : sayang

/sh/ : syarikat

Ujian Ling 6 Sound ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh Audiologis, malah ibu bapa juga boleh menjadikan ujian ini sebagai rutin di rumah. 

Di perenggan pertama, ada disebutkan tentang mengesan dan mengenal pasti bunyi. Secara ringkasnya, mengesan bunyi adalah satu kebolehan yang paling asas untuk menguji kebolehan mendengar kanak-kanak iaitu dengan cara pemerhatian respon yang diberikan oleh kanak-kanak apabila sesuatu bunyi dihasilkan. 

Sebagai contoh, apabila mendengar kunci terjatuh, kanak-kanak berumur kurang dari satu tahun akan menoleh ke arah bunyi tersebut tanpa mengetahui bunyi apa yang didengarnya. Inilah yang dipanggil mengesan bunyi. 

Manakala, mengenal pasti bunyi pula adalah seperti ibu menyebut /a/, kanak-kanak mampu mengulang atau menunjukkan gambar bunyi yang disebut. Ini adalah satu peringkat pendengaran yang lebih tinggi berbanding pengesanan bunyi. Si penguji boleh mengetahui adakah respon yang diperoleh itu benar-benar merujuk kepada bunyi yang diberikan.

Berikut saya terangkan bagaimana untuk melakukan ujian ringkas ini. Antara perkara yang perlu dititik beratkan semasa ujian adalah mendengar tanpa klu, jarak yang betul antara penguji dan kanak-kanak, kekuatan bunyi yang diberi, dan urutan bunyi-bunyi itu diberi.

Ayuh kita pergi kepada perkara pertama iaitu mendengar tanpa klu. Maksud mendengar tanpa klu ini adalah apa yang kita mahukan adalah respon daripada kanak-kanak itu dengan menggunakan deria pendengaran sahaja, bukan dengan membaca gerak bibir atau bahasa badan si penguji. Justeru, cara terbaik adalah dengan melindungi mulut si penguji dengan kertas. 

Seterusnya, perkara kedua yang perlu diambil kira semasa menjalankan ujian ini ialah jarak si penguji dengan kanak-kanak yang ingin diuji. Bagi memastikan ujian ini mendapat keputusan yang lebih baik, pastikan jarak yang digunakan adalah seperti mana jarak perbualan biasa iaitu lebih kurang 1 meter daripada kanak-kanak.

Begitu juga dengan keuatan bunyi yang diberikan, haruslah dengan menggunakan kekuatan bunyi biasa yang digunakan untuk bercakap dengan orang yang berpendengaran normal. 

Terakhir ialah urutan bunyi yang diberikan. Cara terbaik adalah dengan memberi bunyi tanpa mengikut urutan susunan yang sama bagi mengelakkan kanak-kanak meneka bunyi yang dikeluarkan.

Dengan menggunakan kaedah-kaedah yang disarankan berikut, ibu bapa atau penjaga boleh menganggarkan keadaan pendengaran kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Jika pendengaran mereka adalah normal atau mempunyai masalah pendengaran tahap ringan sahaja, seharusnya bunyi-bunyi yang diberi boleh dikenal pasti dengan baik.

Selain itu, antara lain yang boleh saya kongsikan adalah tentang kebiasaan yang terjadi dalam ujian Ling 6 Sound ini. Ada situasi di mana ujian ini dijalankan buat pertama kali, kemungkinan besar kanak-kanak belum boleh secara cekap mengenal pasti bunyi-bunyi yang diberikan. 

Justeru si penguji tidak perlu bimbang. Adalah digalakkan untuk mengulang uji di kemudian hari dan lihat sekiranya terdapat sebarang peningkatan. Di samping itu, kanak-kanak juga lebih cenderung terhadap bunyi-bunyi yang lebih nyaring seperti /s/ dan /sh/. Sekiranya didapati responnya kurang baik kepada bunyi /m/ dan bunyi-bunyi kurang nyaring yang lain, usah bimbang. 

Cuba ulang ujian ini berkali-kali dan jika boleh cuba untuk dapatkan perhatian kanak-kanak tersebut sepenuhnya semasa ujian dijalankan. Adalah disarankan juga untuk menggunakan teknik permainan semasa menguji. 

Sebagai contoh, sediakan bakul dan bola-bola kecil, apabila kanak-kanak member respon terhadap bunyi, berikan mereka sebiji bola untuk dibaling ke dalam bakul tersebut. Cara ini boleh membantu kanak-kanak untuk focus dan tidak mudah bosan semasa ujian.

Antara perkara menarik lain ialah, para ibu bapa atau penjaga boleh menjalankan ujian ini secara spontan dnegan menggunakan perbualan harian. Sebagai contoh bunyi /m/ boleh digunakan untuk menunjukan kelazatan makanan, “mmmm… sedapnya susu”, atau /u/ boleh dimasukkan dalam ayat ini “uuuu… sejuknya”. Kebiasaannya mereka akan mengulang apa yang kita sebut. Jadi, secara tidak langsung, ibu bapa boleh mengetahui bahawa anak-anak mereka boleh mengenal pasti pelbagai jenis bunyi percakapan seharian atau tidak.

Ujian Ling 6 Sound ini amat ringkas dan mudah untuk dipraktikkan di rumah sebagai alternatif lain bagi ibu bapa atau penjaga untuk memantau kebolehan mendengar anak-anak mereka. Semoga sedikit perkongsian ini boleh membantu ibu bapa di luar sana.