Blog Hear Me
Program Sesi Sembang Santai Bersama Dr Basya
Pada 12 Ogos 2017, Persatuan Hear Me telah menganjurkan Program Sembang Santai Bersama Dr Basya di Peak Coffee, Taman Permata. Program berlangsung dari pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari. Dr Basya atau nama penuhnya Basyariatul Fathi Othman adalah merupakan alumni I-HEARS Institution dalam bidang patologi pertuturan.
Objektif program ini adalah untuk mewujudkan platform perkongsian ilmu antara ibu bapa dengan golongan profesional. Selain mewujudkan interaksi santai antara kedua pihak, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli serta berkenalan dengan ahli baharu.
Topik sembang santai pada hari tersebut ialah Pertuturan dan Perkembangan Bahasa Anak-Anak. Dalam perkongsian tersebut, Dr Basya menekankan kepentingan hubungan antara ibu bapa dengan golongan professional seperti :
- Hubungan baik antara ibu bapa dan golongan professional menjadi salah satu faktor keberkesanan dalam terapi pertuturan anak-anak
- Kepentingan untuk ibubapa untuk menimba ilmu berkaitan masalah pendengaran agar mereka dapat berkongsi pendapat dengan doktor memandangkan ibubapa pada masa kini lebih celik dalam mendapatkan informasi
- Teknik terapi pertuturan amat penting bagi ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak-anak dan ibu bapa tidak seharusnya terlalu berharap bahawa anak mereka mampu bertutur dalam masa yang singkat selepas terlibat dalam terapi tersebut
- Menurut pemerhatian beliau, anak-anak bermasalah pendengaran yang banyak perkembangan dan berjaya adalah hasil daripada komitmen ibu bapa dalam mengajar anak-anak mereka bertutur.
Perkongsian ilmu bersama Dr Basya bukan sahaja terselit tips-tips tetapi juga nasihat yang mendorong kepada kejayaan pertuturan anak masalah pendengaran. Malah, perkongsian pengalaman antara ibubapa juga amat membantu ahli baharu untuk dijadikan sebagai panduan. Program Sembang Santai Bersama Dr Basya tamat kira-kira pada pukul 12 tengah hari. Secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar.
Kongsikan artikel ini: