Sumbangan Anda... Kehidupan Senyuman Harapan Impian Mereka

Blog Hear Me

Majlis Berbuka Puasa Hear Me 2017

Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Persatuan Hear Me telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa 2017 pada 3 Jun 2017 yang bertempat di Masjid Kompleks Pertanian Serdang.

Objektif Majlis Berbuka Puasa 2017 ialah sebagai salah satu sesi berkenalan antara ahli Hear Me, merapatkan hubungan sesama mereka serta mewujudkan ruang perbincangan antara ibu bapa tentang anak-anak Hear Me. Malah majlis ini juga diadakan untuk memanfaatkan kemulian bulan Ramadan dengan pengisian tazkirah dan berbuka bersama-sama.

Pihak Hear Me juga telah mengambil kesempatan dengan membuka booth di ruang lobi masjid sebagai langkah mempromosikan Persatuan Hear Me dan jualan sampul raya kepada orang awam.

Perkongsian tazkirah yang bertajuk ‘Kelebihan Memiliki Anak Kelainan Upaya” telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Azrul bin Ismail iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Pentazkirah menceritakan bagaimana seorang sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah Ummi Maktum yang cacat penglihatan tapi memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah dan RasulNya! Pentazkirah turut membacakan beberapa potong ayat al-Quran :

 

  • Az-Zumar ayat 10 : “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.”
  • Surah Al-Anfal  ayat 27 : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kau mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu sedang kamu mengetahui”
  • Surah Al-Anfal  ayat 28 : “Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar.

 

Penceritaan kisah para sahabat berserta ayat Al-Quran yang dibaca oleh pentazkirah berjaya menyentuh hati ibu bapa. Pentazkirah mengingatkan ibubapa bahawa anak-anak yang dianugerahkan kepada mereka adalah sebagai amanah dan ujian hidup. Allah pasti mengangkat darjat ibu bapa yang bersabar menghadapi ujian tersebut!

Sementara ibu bapa mendengar tazkirah di ruang solat, anak-anak Hear Me pula ditempatkan di bilik nurseri masjid untuk aktiviti santai. Antara aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti mewarna dan membuat collage. Selain itu, anak-anak Hear Me juga diraikan dengan pemberian alat permainan.

Sebaik sahaja tamat sesi tazkirah, sebahagian ibu bapa Hear Me menyertai pula aktiviti tahlil yang dilakukan oleh pihak masjid. Selepas itu kesemua hadirin bersiap sedia untuk berbuka puasa. Majlis berakhir selepas sesi berbuka puasa. Selepas solat maghrib, ianya merupakan sesi santai untuk ibu bapa bertanya khabar serta membincangkan perkembangan anak-anak mereka.

Secara keseluruhanya aktiviti ini berjaya mencapai objektif kerana terdapat ibu bapa yang memuji perkongsiaan tazkirah yang disampaikan. Malah kerjasama yang diberikan oleh pihak masjid dalam penyediaan tempat, makanan dan sesi tazkirah juga amat dihargai kerana telah membantu dalam memastikan kelancaran majlis tersebut.

Kongsikan artikel ini:

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram